Pemain naturalisasi Indonesia, Mees Hilgers mempamerkan prestasi terbaiknya apabila membantu FC Twente mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Manchester United ketika aksi pertama Europa League di Old Trafford awal pagi tadi.

Hilgers yang bakal mengangkat sumpah sebagai rakyat Indonesia pada 30 September ini berada dalam kesebelasan utama Twente dan beraksi selama 90 minit perlawanan.

Baca Juga:

Beliau berganding dengan Max Bruns bermain di posisi pertahanan tengah untuk memastikan benteng Twente tidak dibolosi dengan mudah.

Skuad kendalian Erik Ten Hag itu memburu kemenangan pertama namun kekebalan benteng pertahanan Twente telah mengagalkan beberapa percubaan jentera serangan United.

Rembatan padu Eriksen pada minit ke-35 membantu United mendahului namun pemain tengah Denmark itu turut menghadiahkan Twente gol penyamaan pada babak kedua di Old Trafford.

Sam Lammers merampas bola daripada Eriksen, yang cuba mengawal bola selepas satu serangan balas pantas, sebelum merembat melepasi Andre Onana pada minit ke-68.

Berdasarkan statistik Sofascore, Hilgers membuktikan memiliki kualiti di kelas Eropah mencatat rating ketiga tertinggi dalam perlawanan itu.

Kedudukan Hilgers hanya lebih rendah daripada dua rakan sepasukannya, Sam Lammers (rating 7.3) dan Bart van Rooij (rating 7.7).

Pemain yang berusia 23 tahun itu bakal dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan Indonesia dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 jika mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).