Bekas pemain Manchester United, Robin van Persie merasa pelik selepas salah seorang pemain pertahanan, Mees Hilgers memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia berbanding Belanda.
Hilgers dan seorang lagi pemain, Eliano Reijnders memilih untuk beraksi bersama Garuda dan keduanya akan mengangkat sumpah sebagai rakyat Indonesia pada 30 September ini.
Baca Juga:
- Kerajaan Indonesia Setuju Beri Kerakyatan Kepada Mees Hilgers Dan Eliano Reijnders
- Media Indonesia ’Claim’ Ferdy Druijf Mahu Beraksi Bersama Skuad Garuda
- Nilai Pasaran Pemain Warisan Indonesia Lebih Tinggi Daripada Keseluruhan Skuad Malaysia
Keputusan ini membuatkan van Persie berasa pelik kerana Hilgers dianggap masih muda dan mempunyai peluang cerah untuk beraksi bersama Belanda sekiranya pemain itu sedikit sabar.
“Saya sedikit tertanya-tanya mengapa dia (Hilgers) memilih Indonesia. Jika dia bersabar sedikit, mungkin Ronald Koeman akan memanggil dia untuk beraksi bersama Belanda.
“Dia memiliki bakat yang luar biasa dan usianya masih muda. Dengan prestasi yang semakin meningkat dalam saingan Eredivisie, saya yakin dia memiliki masa depan yang cerah sekiranya beraksi bersama Belanda,” katanya.
Kerajaan Indonesia bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada dua pemain warisan iaitu Mees Hilgers dan Eliano Reijnders sekaligus boleh memperkuatkan skuad Garuda pada masa akan datang.
Menerusi laporan media tempatan, Dewan Perwakilam Rakyat (DPR) sebulat suara bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada dua pemain ini selepas dokumen yang dikemukakan menunjukkan kedua-duanya mempunyai keturunan Indonesia.
Menteri Belia dan Sukan Indonesia iaitu Dito Ariotedjo menegaskan Hilgers dan Eliano merupakan pemain muda dan mempunyai pengalaman beraksi di saingan liga yang berkualiti selain bersama skuad muda Belanda.
Hal ini dilihat boleh membantu skuad Garuda di peringkat antarabangsa khususnya dalam usaha menduduki top 100 dalam ranking FIFA selain kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga kejohanan antarabangsa yang lain.
Hilgers merupakan pemain pertahanan tengah yang beraksi bersama kelab Eredivisie iaitu FC Twente sejak 2011 dimana beliau sudah bersama kelab itu sejak dari peringkat bawah umur.
Pemain berusia 23 tahun itu mempunyai kaitan dengan Indonesia melalui ibunya yang berasal dari Manado.
Bagi Eliano pula, pemain yang juga berusia 23 tahun itu beraksi bersama satu lagi kelab Eredivisie iaitu PEC Zwolle dan boleh mengisi poisisi sayap dan pemain tengah menyerang.
Eliano merupakan adik kepada pemain yang memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda iaitu Tijani Reijnders dimana kedua-dua pemain ini memiliki kaitan dengan Indonesia melalui ibu mereka yang berasal dari Maluku.