Kejadian di luar kebiasaan berlaku dalam saingan divisyen dua Brazil dimana salah seorang pemain ditembak di kaki oleh pegawai polis ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan liga.

Dalam satu perlawanan antara Gremio Anapolis menentang Centro Oeste, terjadi pergaduhan antara pemain dari kedua-dua pasukan dimana pasukan keselamatan yang bertugas cuba untuk meleraikan pergaduhan dan menenangkan keadaan.

Baca Juga:

Dalam video yang tular di laman media sosial, pegawai polis tentera mengacukan senjatanya ke arah penjaga gol Grêmio Anápolis, Ramón Souza sebelum melepaskan peluru getah ke arah kaki pemain itu.

Souza kemudiannya meraung kesakitan ekoran ditembak dengan peluru getah dan beliau serta-merta mendapat rawatan dan terus dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

Kenyataan kelab berkata: “Grêmio Anápolis secara terbuka menyesali peristiwa yang berlaku. Ianya tidak masuk akal dan menjijikkan ekoran aoa yang berlaku di Stadium Jonas Duarte pada malam Rabu.

“Selepas tamat perlawanan penjaga gol kami, Ramón Souza ditembak dengan peluru getah, dilepaskan oleh seorang pegawai polis daripada Specialised Policing Company (CPE).

“Tindakan yang sukar dipercayai dan jenayah yang dilakukan oleh seseorang yang sepatutnya mengambil berat tentang keselamatan dan integriti orang ramai yang berada di Stadium Jonas Duarte.

“Grêmio Anápolis memaklumkan bahawa kami akan mengambil langkah yang sewajarnya, supaya orang yang bertanggungjawab dihukum dan keadilan ditegakkan, supaya perbuatan JENAYAH ini tidak terlepas daripada hukuman,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.