Pemain pertahanan Belanda, Virgil van Dijk merasa curiga dengan pengadil perlawanan selepas mereka tewas di tangan England dalam aksi separuh akhir temasya UEFA Euro 2024 awal pagi tadi.

Felix Zwayer diberi tugasan untuk mengendalikan perlawanan dan beliau telah membuat beberapa keputusan yang dianggap kontroversi seperti menghadiahkan sepakan penalti kepada England.

Baca Juga:

Selepas perlawanan, van Dijk menyatakan kecurigaan beliau terhadap Zwayer dan mahu pengadil itu memberikan penjelasan mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada England.

“Saya tak tau nak cakap apa. Saya tak tau kalau saya patut bercakap mengenai perkara ini. Saya rasa semua sudah jelas ketika beliau (Zwayer) masuk ke dalam bilik persalinan dengan begitu cepat. Saya tak sempat pun nak salam dia.

“Sukar untuk menerima perkara ini. Kami menghadapi tahun yang panjang dan mempunyai impian untuk memenangi sesuatu, namun kami gagal untuk mencapainya.

“Mereka (pengadil) selalu menukar keputusan, perkara kecil yang boleh membuat impak terhadap permainan. Saya rasa bagus kalau dia bertanggungjawab. Biar mereka membuat penjelasan di hadapan anda semua mengenai keputusan yang mereka buat.

“Walau apa pun, kami tewas dalam perlawanan tadi. Kekalahan ini sukar untuk diterima. Keputusan yang tidak memihak kepada kami,” kata Virgil van Dijk.

Tindakan Zwayer turut mendapat kritikan dari bekas pemain England, Gary Neville yang mana beliau menganggap keputusan itu sebagai memalukan.

Dalam perlawanan tersebut, Xavi Simons meletakkan Belanda di hadapan seawal minit ke-7 dimana beliau memanfaatkan kesilapan Declan Rice.

England kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang diambil Harry Kane dan Ollie Watkins menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir permainan.

England akan turun berdepan Sepanyol dalam perlawanan akhir pada 15 Julai nanti.