Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente menegaskan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk turun menentang Timor Leste dalam aksi kedua peringkat kumpulan saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember ini.

Malaysia hanya mampu meraih satu mata pada perlawanan pertama ketika berdepan Kemboja dimana aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Olimpik berkesudahan dengan keputusan 2-2.

Baca Juga:

Terlepas peluang untuk mencatat kemenangan pertama, Marti mahu pasukannya untuk tampil dengan cemerlang sekaligus membenam Timor Leste di laman sendiri.

“Semua pemain dalam keadaan baik, tidak semua pemain tersedia dengan saingan liga masih berjalan. Semua perkara ini tidak normal bagi saya. Kami akan gunakan pemain yang ada dan bersedia.

“Perlawanan esok sangat penting, ini bukan perlawanan persahabatan dan ini adalah kejohanan dan kami mahu memperoleh tiga mata.” kata Pau Marti.

Timor Leste juga mengalami kekecewaan pada aksi pertama dimana mereka dibelasah oleh juara bertahan iaitu Thailand dengan keputusan 10-0 sekaligus menjadi kekalahan terbesar dalam sejarah Piala AFF.

Ketua jurulatih Timor Leste, Simón Elissetche mahu memastikan pasukannya turun dengan aksi terbaik di Bukit Jalil dan melupakan kekalahan besar di tangan Thailand.

“Kami bersedia untuk aksi menentang Malaysia. Kita menganalisis potensi pemain yang diturunkan, kita tahu akan berdepan dengan pasukan yang baik. Pemain mahu beraksi lebih baik berbanding aksi sebelumnya.

“Sudah pasti kita mahu meraih kemenangan tetapi seri amat baik berdepan pasukan seperti Malaysia. Kami mahu berkembang dan cipta sejarah untuk meraih mata dalam kejohanan ini,” katanya.