Empat pemain warisan Indonesia yang beraksi di Eropah, kini berdepan detik getir dalam karier mereka. Ini kerana 4 pemain tersebut sedang di ambang penyingkiran bersama pasukan mereka.
4 pemain warisan Indonesia dalam bahaya
Indonesia memiliki ramai pemain warisan yang beraksi di Eropah. Namun ini 4 nama pemain yang sedang berjuang bersama dengan pasukan mereka untuk menyelamatkan diri daripada turun divisyen.
1. Emil Audero Mulyadi – US Cremonese
Penjaga gol kelahiran Lombok ini kini memperkuatkan Cremonese secara pinjaman daripada Como 1907. Dia antara pemain warisan Indonesia yang bermain di liga utama di Eropah.
Namun kedudukan pasukannya cukup merisaukan. Cremonese kini berada di tangga ke-17 – posisi terakhir zon selamat – dengan jumlah mata yang sama seperti US Lecce di tangga ke-18.
Lebih membimbangkan, mereka gagal mencatat kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir. Ujian getir menanti apabila bakal berdepan gergasi Serie A, AC Milan hujung minggu ini.
Jika prestasi tidak berubah, Audero mungkin terpaksa berdepan realiti pahit turun divisyen.
2. Ragnar Oratmangoen – FCV Dender

Kelab milik ahli politik Indonesia, Sihar Sitorus ini kini menghuni tangga ke-16 — dasar carta Liga Belgium.
Dengan hanya 17 mata, mereka ketinggalan jauh daripada Zulte Waregem di tangga ke-12 yang sudah mengumpul 29 mata.
Lebih meresahkan, Dender sudah 10 perlawanan tanpa kemenangan. Jika momentum negatif ini berterusan, peluang untuk kekal di kasta tertinggi semakin tipis.
3. Kevin Diks – Borussia Monchengladbach
Situasi di Bundesliga juga tidak begitu selamat buat Kevin Diks.
Monchengladbach kini berada di tangga ke-14 dengan 22 mata — belum memasuki zon penyingkiran, tetapi hanya tiga mata memisahkan mereka daripada Werder Bremen di tangga ke-17.
Jurang yang kecil ini bermakna satu atau dua kekalahan mampu mengubah segalanya. Setiap perlawanan kini ibarat final buat Diks dan rakan sepasukan.
4. Ole Romeny – Oxford United
Seorang lagi pemain warisan Indonesia yang di ambang penyingkiran adalah penyerang muda Ole Romeny.
Dia kembali mendapat minit permainan, namun pasukannya berada dalam keadaan membimbangkan.
Oxford kini di tangga ke-23 dalam Championship — kedudukan kedua tercorot. Mereka ketinggalan lima mata daripada West Bromwich Albion yang berada di posisi ke-21, zon terakhir selamat.
Skuad kendalian Matt Bloomfield itu juga gagal menang dalam enam perlawanan terakhir. Jika gagal bangkit segera, Oxford berisiko jatuh ke League One musim depan.