Luluh hati seorang pemandu ambulans apabila mangsa nahas kemalangan yang terbaring kaku di atas jalan merupakan anaknya sendiri.

Mohd Taqwa Ismail, 49, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Sungai Tong berkata, dia tidak menyangka mangsa kemalangan dalam kejadian itu adalah anaknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Muhmamad Aiman Mohd Taqwa, 21, terbabit dalam kemalangan di simpang kilang sawit di Kilometer KM 38 Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, petang semalam.

Arwah yang merupakan kakitangan Unit Landskap Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu itu terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 4.30 petang.

Taqwa berkata, dia mendapat panggilan meminta untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi kejadian dan kemudiannya dihantar ke Hospital Setiu.

“Namun apabila sampai di situ, saya macam kenal motosikal itu dan apabila tengok nombor plat motosikal baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.

“Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Jujurnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sedih saya ketika itu walaupun sebelum ini pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini,” katanya ketika dihubungi pihak Harian Metro.

Taqwa berkata, Aiman baru sahaja lima bulan bekerja di TTI dan kerap berulang-alik dari tempat kerja dan pulang ke rumah di Sungai Tong.

“Selalunya Aiman bawa bekal ke tempat kerja tetapi semalam dia berjanji mahu pulang untuk makan petang bersama saya di rumah.

“Kebetulan malam sebelum kejadian, saya sempat memasak ikan lampam goreng yang dibawa balik dari Tasik Kenyir dan dia sempat makan serta meminta lebihan ikan itu disimpan untuk dimakan keesokan harinya,” katanya.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara kira-kira jam 11.30 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Sumber