Seorang pemandu Audi kuning yang tular beberapa minggu lalu kerana kerana diburu polis selepas melarikan diri ketika pemeriksaan di Plaza Tol Yong Peng Utara pada bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Memetik Berita Harian, tertuduh, Muhammad Azlisyam Azmi, 29, dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah sebelum Majistret, Arul Noval Dass, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM2,000.

Baca Juga:
- Nafi Terlibat Salah Laku, Afdlin Shauki Buat Laporan Polis
- Didakwa Edar Kokain, Pemain Keturunan Indonesia Ini Ditahan Polis
- Demi Agama, Shahrol Shiro Buat Laporan Polis Ke Atas Harith Iskander & Wanita Biadap Ini
Mahkamah juga memutuskan hukuman penjara ditambah dua bulan sekiranya bapa kepada empat anak itu gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghalang penjawat awam iaitu Inspektor Muhammad Azrul Aminur Rashid Zakaria menjalankan fungsinya dengan enggan keluar dari kereta jenis Audi A5, di simpang masuk PlazaTol Yong Peng Utara, di sini, 1 tengahari, 20 Januari lalu.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
Sebaliknya, tertuduh enggan menuruti arahan polis termasuk keluar seperti diminta sebelum pemandu Audi kuning itu memecut dan melarikan diri.
Pemandu Audi kuning ditahan di Setapak

Selepas 11 hari menjadi buruan polis, tertuduh berjaya ditahan berhampiran sebuah apartmen dekat Setapak, Kuala Lumpur, pada jam 10 pagi, 31 Januari lalu.
Difahamkan pemandu Audi kuning didapati telah mengecat semula kereta terbabit dengan warna merah. Tertuduh didapati cuba menjual kenderaan itu bagi mengelak dikesan namun gagal.
Siasatan polis juga mendapati, tertuduh melarikan diri kerana dia adalah individu dikehendaki polis bersabit laporan di Serdang, Selangor mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Semakan polis turut menemui sembilan rekod jenayah sejak 2014 termasuk mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, pecah rumah, curi kenderaan dan curi dalam bangunan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam, Normahani Raais, daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira tindakan tertuduh melarikan diri hingga tular di media sosial selain turut mencetuskan kegusaran kepada masyarakat.