Kecoh di media sosial berhubung rakaman sejumlah pemandu kenderaan yang melakukan pusingan U dan melawan arus di laluan keluar Raub, Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub Bypass tular pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tiada tindakan saman yang akan dikenakan terhadap pemandu-pemandu berkenaan.

Baca Juga:

Sebaliknya kongsi beliau lagi, jalan keluar itu akan ditutup bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Memang tindakan (u-turn lawan arus) itu tidak sepatutnya berlaku tetapi buat masa ini, kita faham mereka semua nak balik kampung dan kita juga bukan mahu mencari kesalahan, tetapi hanya mahu permudahkan urusan semua.

“Kita akan lancarkan lalu lintas dan mungkin akan tutup laluan itu bagi mengelakkan perbuatan ‘u-turn’. Mungkin ini pendekatan kita,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh PDRM berhubung isu itu.

Beliau berkata, pihak polis juga akan melakukan pemantauan dan kawalan aliran trafik terutamanya titik hitam dan lokasi panas.

“Tumpuan kita kempen ini (Op Selamat) adalah mendidik rakyat, sikap satu elemen penting yang mana pengguna jalan raya hendaklah bertanggungjawab antara satu sama lain.

“Kita juga mengingatkan orang ramai memandu dengan cermat dan memeriksa kenderaan terlebih dahulu.

“Mereka yang balik kampung diminta memaklumkan kepada balai polis berdekatan bagi memudahkan rondaan cegah jenayah termasuk bukan Islam yang pergi bercuti,” katanya.

Beliau berkata, enam kesalahan utama diberi penekanan iaitu memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit.

Sumber