Pemandu Formula 1 terkenal, Valtteri Bottas, sekali lagi mencuri perhatian pengguna media sosial di Malaysia menerusi perkongsian aktiviti riadahnya selepas tamat perlumbaan.

Bukannya memilih untuk berehat di hotel dengan perkhidmatan pemandu peribadi, beliau sebaliknya memilih untuk mengayuh basikal merentasi laluan gelap ladang kelapa sawit pada waktu malam.

Kayuhan Malam Dari KLIA Ke Port Dickson

Aksi tersebut mula tular apabila pengguna di platform Threads berkongsi tangkapan layar daripada hantaran Instagram Story milik pelumba berkenaan.

Pemandu F1 Pilih Kayuh Basikal Dari Sepang Ke Singapura, Sanggup Redah Ladang Sawit Waktu Malam
Sumber Gambar: Threads

Video pendek itu menunjukkan suasana laluan sempit di dalam ladang kelapa sawit yang hanya diterangi oleh lampu hadapan basikal miliknya.

Rata-rata netizen tempatan meluahkan rasa terkejut dan berseloroh dengan keberanian beliau, memandangkan kawasan ladang sawit pada waktu malam biasanya agak digeruni oleh penduduk tempatan.

Catatan Laluan Malaysia Ke Singapura

Berdasarkan rekod aktiviti pada aplikasi berbasikal Wahoo ELEMNT ROAM 3 dan Strava, Bottas menamakan kayuhan tersebut sebagai “Malaysia to Singapore Day 1”.

Laluan sejauh 56.60 kilometer itu bermula dari kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Port Dickson.

Beliau mencatatkan masa kayuhan selama 2 jam 8 minit dengan kelajuan purata 26.4 km/j serta membakar sebanyak 1,080 kalori.

Malah, ada beberapa pengguna berjaya menemui pemandu F1 itu di jalan raya pada hari malam semalam.

@jia._.09

ternampak Bottas pulak di jalan raya🤣 nak gi mana ni

♬ original sound – Jx – Jx

Pelumba Gravel Bertaraf Elit

Keberanian beliau meneroka kawasan luar bandar dan laluannya yang mencabar sebenarnya bukanlah perkara asing. Menurut maklum balas netizen, Bottas bukan sahaja seorang pemandu F1, malah beliau juga merupakan pelumba basikal kategori *gravel* bertaraf elit yang pernah melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Berbasikal Gravel.

Pengalaman tersebut menjelaskan mengapa beliau kelihatan begitu selesa mengayuh di atas permukaan jalan yang tidak bertar.

Gelagat santai pelumba antarabangsa ini jelas menunjukkan minat mendalam beliau terhadap sukan berbasikal, sehingga sanggup meneroka keunikan laluan malam di Malaysia dengan cara yang cukup unik.

Sumber