Pada hari semalam dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan treler muatan batu pasir merempuh sejumlah kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi itu telah membabitkan 14 kenderaan yang terdiri daripada treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.

Baca Juga:

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.

A.Asmadi berkata pemandu treler berusia 25 tahun itu sudah ditahan dan hasil siasatan awal, lelaki itu mendakwa tidak sempat memberhentikan kenderaan itu.

Beliau berkata pemandu treler itu tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.

“Treler itu (pemandu) kita tidak tahu sama ada dia (pemandu) terleka atau main telefon bimbit, kita lihat treler itu nampak baharu lagi,” katanya kepada pemberita ketika meninjau proses siasatan di lokasi kejadian.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), A.Asmadi berkata pemandu treler itu sepatutnya berpeluang untuk memberhentikan kenderaan kerana dilihat sempat menukar laluan dari lorong tengah ke kiri.

“Bagi kita, dia ada peluang untuk berhentikan kenderaan itu, kenderaan lain dihentikan oleh anggota trafik dan berhenti dengan baik,” katanya pihak polis akan meneruskan siasatan termasuk aspek teknikal treler itu.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti kemalangan tersebut untuk membantu siasatan polis mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis juga akan memohon untuk mendapatkan perintah reman terhadap pemandu lori terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, mengenai tindakan anggota trafik memberhentikan kenderaan di lokasi itu, beliau berkata anggota trafik berkenaan sedang mengadakan latihan dan mengenal pasti jalan untuk acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL).

Beliau berkata anggota trafik berkenaan mematuhi setiap tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk melakukan latihan dan mengenal pasti jalan untuk LTdL itu.

“Dari segi tatacara kita patuhi SOP ditetapkan, daripada (pemerhatian) CCTV memang cantik (kepatuhan),” katanya yang turut memaklumkan anggota trafik berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun motosikalnya rosak teruk.

Sumber