Seorang penunggang motosikal maut selepas sebuah Maserati dipandu warganegara Singapura membuat pusingan-U di kawasan tidak dibenarkan.

Memetik Harian Metro, kejadian lebih kurang 7 malam di Kilometer 0.6 Lebuhraya Link Kedua itu telah menyebabkan kemalangan membabitkan empat buah kenderaan.

Baca Juga:

Kejadian itu menyebabkan seorang penunggang motosikal jenis Honda RS maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, penunggang motosikal warga tempatan berumur 31 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Maserati dipandu lelaki warganegara Singapura berusia 27 tahun melakukan pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan untuk menghala ke arah Singapura.

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan terbabit melanggar pembahagi jalan tengah sebelum besi penghadang tercabut dan memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh besi berkenaan sebelum terjatuh ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tindakan pemandu Singapura turut menyebabkan dua motosikal lain kemalangan
Pemandu Maserati Singapura Buat 'U-Turn' Haram, Penunggang Motosikal Malaysia Maut
Sumber Gambar: Facebook

Kejadian itu juga melibatkan dua buah motosikal lain, Yamaha MT-09 berwarna ungu dan Yamaha XMAX 250 yang melanggar kotak simpanan motosikal mangsa yang tercampak ke laluan bertentangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan merbahaya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322.

Pemandu Maserati Singapura Buat 'U-Turn' Haram, Penunggang Motosikal Malaysia Maut
Sumber Gambar: Facebook
Sumber