Pemandu Mercedes Benz yang terbabit kemalangan sebelum keretanya terbakar di Kilometer 18.1 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan, hari ini.
Sum Kah Fei, 34, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Haneefa Ariffin, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Baca Juga:
- Pemandu Mercedes Terbakar Ditahan
- Kakak Mangsa Langgar Lari Mercedes Terbakar Kongsi Apa Jadi Selepas Kemalangan
Memetik Harian Metro, pertuduhan pertama, peniaga itu didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan Muhammad Nur Faiz Saini parah.
Kejadian berlaku di sekitar Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar ke Plaza Tol Wangsa Maju, di sini, pada jam 12.35 tengah hari, Ahad lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada tarikh dan masa yang sama.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh ditawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahjiman.
Peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya itu sedang mengalami masalah perniagaan selain perlu menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari 2025 bagi serahan dokumen.