Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan pemandu SUV Mercedes ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).
Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, pemandu berusia 34 tahun yang juga warga tempatan itu dikesan merempuh sebuah motosikal selepas keluar dari Plaza Tol Chan Sow Lin di Lebuhraya SPE, petik Buletin TV3.
Baca Juga:
- Kakak Mangsa Langgar Lari Mercedes Terbakar Kongsi Apa Jadi Selepas Kemalangan
- Merasa Naik Sekejap, PGA Patahkan Cubaan Seludup PATI Guna Mercedes-Benz
- Jurujual ‘Stress’ Layan Pelanggan Gaji RM3,000 Tapi Nak Beli Mercedes RM300,000
Pemandu kereta terbabit dikesan tidak berhenti selepas kenderaannya merempuh sebuah motosikal ditunggangi lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Kereta SUV itu kemudiannya dikesan di Plaza Tol Wangsa Maju (Lebuhraya SPE) selepas berhenti kerana mengalami kebakaran bermula dari bahagian bonet hadapan kereta.
“Kita percaya kebakaran berlaku akibat kesan daripada pelanggaran kereta terbabit dengan penunggang motosikal,” katanya.
Menurutnya lagi, penunggang motosikal itu cedera di kepala, muka dan perut, manakala pemandu Mercedes berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sekiranya terbabit di dalam kemalangan adalah menjadi tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk membuat laporan polis.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Balai Polis Trafik di talian 03-2026 0267/69 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau manamana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.
Terdahulu, kakak kepada mangsa ditemu ramah untuk berkongsi situasi yang terjadi selepas insiden kemalangan yang berlaku.