Seorang pemandu warga Singapura dirakam membuang sampah keluar dari tingkap ketika menunggu di lampu isyarat di Malaysia telah mencetuskan pelbagai reaksi dari netizen, lapor MSN.
Namun, apa yang berlaku selepas itu menambah elemen ‘plot twist’ dalam kejadian ini.
Video pendek berdurasi 13 saat yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, @afn.performance menunjukkan sampah yang dibuang oleh pemandu Singapura itu dipulang kembali kepada pelakunya.
Sehingga kini, video tersebut telah mengumpul lebih 21,200 tontonan dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Lokasi dan waktu sebenar kejadian tidak dinyatakan oleh pengguna TikTok tersebut, tetapi ramai netizen berpendapat bahawa ia berlaku di sekitar Lembah Klang, salah satu kawasan yang dikunjungi oleh warga Singapura.
Dalam video yang dirakam dari sebuah kereta di belakang, kelihatan seorang pemandu dari kenderaan lain menghampiri SUV berdaftar dengan nombor Singapura itu selepas penumpangnya membuang kulit oren ke jalan raya.
Tanpa ragu, pemandu tersebut mengetuk tingkap SUV berkenaan dan mengambil kulit oren yang terbiar di jalan sebelum memasukkannya semula ke dalam SUV melalui celahan tingkap yang sedikit terbuka.
Dengan tenang, pemandu itu kembali ke keretanya.
Di ruangan komen, ramai netizen memuji tindakan pemandu yang berani itu kerana memulangkan sampah tersebut kepada pelaku.
Tindakan tersebut dianggap sebagai satu bentuk ‘pengajaran’ kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ada juga yang meluahkan rasa kecewa terhadap warga Singapura itu sambil menegaskan bahawa mereka hanya mematuhi undang-undang ketat di Singapura, namun tidak mengendahkan peraturan apabila berada di Malaysia.
Netizen turut menyamakan situasi di mana sesetengah pemandu dari negara jiran mematuhi undang-undang negara sendiri yang, tetapi sebaliknya apabila menjejakkan kaki ke negara lain seperti Malaysia.
Mereka menegaskan bahawa sikap ini bukan sahaja mencemarkan imej diri sendiri, tetapi juga memburukkan persepsi terhadap warga Singapura.
Di Malaysia, membuang sampah merata-rata merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda, namun kesedaran awam mengenai kebersihan dan tanggungjawab bersama perlu dititikberatkan.