Sudah acap kali terjadi di mana ramai individu yang terlalu mengikut kehendak sehingga memakan diri di kemudian hari seperti membeli kereta mewah.
Inilah yang terjadi kepada dua pemilik kereta mewah yang berjaya ditangkap oleh pihak JPJ pada 12 Jun lalu di dalam mengesan pesalah yang tidak mempunyai lesen kenderaan serta cukai jalan yang sah.
Memetik laman Sinar Harian, apabila disoal, pemandu sebuah kereta BMW X5 dan Ford Mustang menerangkan alasan mengapa mereka tidak dapat memperbaharui dokumen penting itu.
Di dalam Ops Harian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuat merangkumi Lebuhraya Kajang-Cheras, pemilik Ford Mustang yang berusia 30-an itu menjelaskan sebab dia gagal memperbaharui lesen memandunya adalah disebabkan tunggakan hutang dan tersenarai di dalam senarai hitam.
Sementara, pemandu BWM, di dalam lingkungan 40-an tu pula telah memandu tanpa sebarang cukai jalan yang sah selama setahun.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata kedua-dua pemandu terbabit memberi alasan masalah kewangan sebagai punca utama tidak memperbaharui LKM dan cukai jalan mereka, walaupun memiliki kenderaan mewah bernilai ratusan ribu ringgit.
Kedua-dua kenderaan telah disita dan dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut. Azrin menegaskan bahawa pemilikan kenderaan mewah tidak mengecualikan sesiapa daripada undang-undang, dan semua pengguna jalan raya diwajibkan mempunyai LKM dan insurans yang sah.