Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan pasukan tersebut akan dibubarkan pada musim hadapan.
Menurut perkongsian yang dibuat Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dalam sesi soal jawab bersama penyokong JDT malam tadi, baginda mengatakan KDA dan Sri Pahang tidak akan menyertai saingan Liga Super musim hadapan.
Baca Juga:
- ‘Saya Tak Pernah Berdepan Situasi Seperti Ini’ – Pemain Import Kedah
- Pemain Kedah Dapat Imbuhan Sebelum Bertemu KL City
- Pemain Kedah Darul Aman Kembali Boikot Sesi Latihan
“Pasal ada masalah dalam Pahang, jadi benda ini berita sedih. Macam Kedah adalah pasukan yang bersejarah pun tak ada juga tahun depan.”
“Salah siapa? Ini semua kerana isu kelemahan pengurusan dalaman,” ujar Tunku Ismail.
Susulan kenyataan tersebut, KDA FC menerusi pemiliknya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar tampil mengeluarkan kenyataan rasmi dalam menafikan perkara tersebut.
Kenyataan Rasmi Pemilik KDA FC
“Seperti yang anda sedia maklum, isu mengenai KDA FC tidak akan berada dalam Liga Malaysia musim hadapan sudah menjadi tular dalam media sosial hari ini.”
“Ianya bukanlah keputusan pihak KDA FC secara faktanya.”
“Saya dan pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Perlesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak Club Licensing Body MFL.”
“Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan kita juga tidak pernah menghantar apa-apa surat yang berkaitan memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia.”
“Kami akan terus berjuang dan berusaha untuk terus kekal di Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang.”
“Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa.”
“Semoga kenyataan ini memberi sedikit pencerahan dan keyakinan untuk semua. Kita akan teruskan usaha tetapi hasil akhirnya adalah dalam ketentuan Allah SWT,” tambah beliau lagi.