Seorang pemilik Perodua Myvi meluahkan rasa hilang arah dan meminta warganet berkongsi nasihat bagi menghadapi situasi sulit yang dihadapinya.

Menerusi TikTok @wachaoulo, pemilik Myvi itu menyatakan dia berusia 23 tahun dan kereta tersebut telah ditarik kerana sudah tiga bulan gagal bayar pinjaman.

Menurutnya, dia gagal membayar pinjaman kerana perlu menanggung ahli keluarganya, lebih-lebih lagi dua adik yang sedang belajar.

“Jadi ini adalah kereta saya. Ceritanya saya kena survive gaji dengan menanggung dua adik yang tengah belajar sebelum mereka dapat elaun dan biasiswa.

“Tapi kalau 3 bulan tidak dapat lagi, saya kena bayarkan apa yang patut. Sebab itulah pengurusan kewangan saya ‘tersangkut’. Bila kereta kena tarik, semua salahkan saya — susahlah lepas ini tidak ada kereta lagi,” luah individu tersebut.

Menurutnya lagi, dia tidak dapat menebus kereta tersebut kerana sudah terlambat sebab terlebih hari penebusan.

Netizen beri sokongan kepada pemilik Myvi
Pemilik Myvi Rasa 'Lost', Tanggung 2 Adik Tengah Belajar Sampai Kereta Kena Tarik
Sumber Gambar: TikTok @wachaoulo

Perkongsian pemilik Myvi itu mendapat pelbagai reaksi netizen.

Ramai memberikan kata-kata semangat supaya individu itu dapat bangkit kembali semula.

“Cubalah mencari pekerjaan baharu atau melakukan kerja sambilan, asalkan halal. Pada usia 23 tahun, perjalanan hidup masih sangat panjang. Memang akan ada tempoh yang sukar dan menyakitkan, namun ia memerlukan masa untuk kembali stabil. Selagi kita berdisiplin dan konsisten mengawal diri, Insya-Allah kita mampu melakukannya.

“Cuba dapatkan khidmat nasihat kewangan atau membuat rundingan dengan pihak bank berkaitan bayaran bulanan kereta, khususnya apabila ketika itu anda tidak mempunyai sumber yang mencukupi.  Jika saya sendiri mampu bangkit walaupun kini masih hidup sekadar cukup makan dan nama masih berada dalam senarai hitam, maka anda juga boleh. Kita berusaha bersama-sama: buat pengiraan, lakukan rundingan, dan beranikan diri untuk bangun semula.

Pemilik Myvi Rasa 'Lost', Tanggung 2 Adik Tengah Belajar Sampai Kereta Kena Tarik
Sumber Gambar: TikTok @wachaoulo

Dalam pada itu ada warganet menyatakan bukan tidak boleh membantu ahli keluarga, bagaimanapun bantulah mengikut kemampuan sendiri.

Bukan membantu sehingga menjerat diri sendiri.

“Berhentilah daripada menanggung beban keluarga terlebih dahulu. Utamakan kestabilan hidup sendiri. Nama saya telah disenaraikan dalam rekod CCRIS/CTOS kerana kakak saya gagal melunaskan bayaran motosikal yang didaftarkan atas nama saya.

“Perkara ini hanya saya ketahui apabila membuat permohonan pinjaman kereta; jika tidak, mungkin sampai bila-bila saya tidak menyedari bahawa rekod kewangan saya sudah buruk. Apabila saya merayu agar kakak menyelesaikan tunggakan hutang motosikal tersebut, beliau seolah-olah menganggap saya yang menjadi punca masalah. Kini saya terpaksa menunggu selama enam bulan sebelum nama saya benar-benar bersih semula,” kata seorang netizen.

“Kenal pasti bahagian yang perlu anda tanggung. Jika ada adik-beradik lain, berbincanglah bersama agar dapat berkongsi beban sehingga anda benar-benar stabil. Apabila keadaan sudah pulih, barulah anda boleh kembali ke landasan asal.

“Semoga segala urusan anda dipermudahkan. Saya memahami situasi ini kerana pernah mengalaminya. Apa-apa pun, pasti ada jalan keluar. Ambil sedikit masa untuk bertenang, susun langkah dengan bijak, serta hadapinya dengan kekuatan dan kesabaran,” kata netizen lain kepada pemilik Myvi itu.