Dalam satu kejadian yang mengerikan, seorang pemilik restoran menjadi mangsa rompakan dirancang rapi yang dipercayai didalangi oleh empat lelaki Afrika di Taman Melawati, lapor NST.

Menurut ketua polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, mangsa berusia 27 tahun ditemani seorang rakan telah bertemu dengan seorang wanita dan seorang individu terkenal, dikenali sebagai “Datuk,” untuk pembelian jongkong emas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pertemuan itu berlaku secara santai di kedai kopi yang terletak di dalam Melawati Mall sekitar jam 1 tengah hari.

Apa yang bermula sebagai urus niaga yang kelihatan seperti rutin biasa bertukar menjadi mimpi ngeri.

Rundingan dilaporkan selesai, dan persetujuan kononnya dicapai, mangsa dibawa masuk ke Proton Gen2 dengan alasan untuk memuktamadkan pembelian.

“Mangsa bersama rakannya dibawa mengelilingi pusat beli-belah itu sebanyak tiga kali sebelum dibawa ke Jalan G1, di mana kereta itu diberhentikan di tepi jalan.

“Di lokasi ini, muncul empat lelaki warga Afrika dan seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah dua rakannya sebelum meniup lada ke muka mereka.

“Lelaki itu kemudiannya merampas beg berisi wang tunai (RM300,000) dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertindak atas laporan mangsa, polis Ampang Jaya berjaya menahan seorang wanita yang dipercayai membantu urusan jual beli di Taman Melawati.

Siasatan seterusnya membawa kepada penahanan dua suspek wanita yang lain, dipercayai bersubahat dalam rompakan tersebut dan juga kereta Proton Gen2 yang digunakan untuk merompak mangsa.

Azam berkata polis kini telah melancarkan gerakan memburu empat lelaki Afrika itu dan “Datuk”.

Katanya, mangsa berkata ini adalah kali pertama dia berurusan dengan suspek, sambil menambah pemilik restoran itu ingin membeli jongkong emas itu supaya dia boleh mengaut keuntungan segera apabila harga emas meningkat.

“Ketiga-tiga suspek wanita berusia 31, 54 dan 58 tahun itu direman sehingga Sabtu ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata dengan cubaan menyebabkan kematian atau kecederaan parah, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sumber