Satu kes yang luar biasa berlaku di Singapura baru-baru ini apabila seorang pemilik iPhone berang kerana telefonnya dicuri, lalu menampal surat terbuka yang disertakan dengan ancaman santau  kepada pencuri di sebuah lif.

Surat tersebut, yang dikongsi dalam kumpulan Facebook Complaint Singapore pada 25 November, menunjukkan kemarahan pemilik yang mendakwa telefon bimbitnya berwarna ungu dengan casing berwarna merah jambu telah dicuri oleh seseorang.

Pemilik tersebut juga menegaskan bahawa iPhonenya telah dikunci menggunakan fungsi Lost Mode, jadi agak sukar untuk pencuri mendapatkan akses.

Dalam suratnya, pemilik iPhone memberikan dua pilihan kepada pencuri: pulangkan telefon tersebut atau hantar ke balai polis dalam masa seminggu.

Jika tidak, mereka akan menanggung akibat buruk dalam bentuk santau yang dikenakan melalui sebuah jampi.

“Saya akan beri ganjaran selepas anda memulangkan telefon itu. Jika tidak, anda akan di santau seumur hidup dengan jampi ini. Saya akan memusnahkan jampi tersebut selepas anda pulangkan (telefon).”

Lebih menarik, surat itu turut disertakan dengan foto talisman Taoist yang dikenali sebagai fulu, lazimnya digunakan untuk mengusir roh jahat.

Surat tersebut dipasang di dinding luar lif, dipercayai sebagai amaran kepada pencuri.

Netizen memberi pelbagai reaksi terhadap insiden ini.

Ada yang berseloroh bahawa jampi itu mungkin tidak berkesan kerana tulisan pada kertas mengusir roh tersebut tidak lengkap.

Seorang lagi mencadangkan agar surat itu dicetak dengan saiz dan warna yang sesuai untuk lebih berkesan.

Ada juga yang memberikan pandangan lucu, dengan berkata, “Kalau tak cuba, takkan tahu keberkesanannya.”

Walaupun tidak diketahui sama ada ugutan tersebut akan membantu pemilik mendapatkan kembali telefonnya, tindakan luar biasa ini sememangnya menarik perhatian ramai.