Seorang pemimpin NGO yang terkenal dengan usaha gigihnya mengumpul dana bagi membantu Palestin telah mengejutkan ramai apabila ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Lelaki berusia 40-an itu, yang sebelum ini dikenali sebagai pejuang hak Palestin, kini menghadapi kontroversi apabila ditemui bersama seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.
Merujuk laporan MalaysiaKini yang memetik sumber daripada Harian Metro, lelaki tersebut memasuki bilik hotel kira-kira jam 2 petang, manakala wanita berkenaan – juga seorang aktivis NGO – sudah berada di situ lebih awal.
Pemeriksaan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai Jawi kira-kira jam 4.45 petang membawa kepada penahanan lelaki tersebut yang dilaporkan sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Dalam insiden tersebut, lelaki terbabit didapati cuba melarikan diri namun usahanya gagal.
Alasan yang diberikan bahawa dia bertemu wanita itu kerana mahu menyerahkan barang tertentu tidak dapat meyakinkan pihak berkuasa.
Malah, sumber tersebut menyatakan bahawa lelaki ini pernah berkongsi pentas forum berhubung konflik di Palestin bersama seorang duta dari negara Timur Tengah, dan sering lantang bersuara di media sosial serta media massa mengenai peperangan Palestin-Israel.
Pemimpin NGO ini dikenali ramai antara enam hingga lapan tahun lalu kerana aktif mengutip derma bagi mengisi tabung Palestin.