Maruah finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu, Borussia Dortmund (BVB) tercalar apabila mereka dibelasah 0-4 ketika menentang kelab Thailand, BG Pathum United pada aksi pra musim semalam.

Walaupun ianya sekadar aksi persahabatan, namun kekalahan dengan jumlah besar kepada pasukan dari Asia merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan dikecam hebat oleh peminat kelab tersebut.

Baca Juga:

“Saya kini bukan lagi peminat BVB. Saya sudah sokong kelab ini sejak 2007 dan merupakan pemegang tiket bermusim sejak 2011. Saya tak akan sambung lagi tiket bermusim. Saya mahu jadi penyokong PSG,” kata seorang pengguna X bernama Xavipropp.

“Anda mempersembahkan jersi yang benar-benar tidak masuk akal, pergi ke satu lagi perjalanan meletihkan ke Asia dan kalah memalukan dengan empat gol, semuanya jelas,” kata seorang pengguna X bernama Alex.

Kekalahan kelab Jerman itu turut dijadikan bahan ketawa peminat bola sepak Asia Tenggara di media sosial.

Ketika perlawanan itu, Dortmund menurunkan beberapa bintang utama seperti Julian Brandt , Niklas Süle, Felix Nmecha, Karim Adeyemi dan Julian Ryerson sambil pemain seperti Sebastien Haller dan Kjell Wätjen dimasukkan sebagai pemain gantian.

Pemain muda berbakat, Paris Brunner, Almugera Kabar, dan Tyler Meiser, turut diberikan peluang untuk menarik perhatian pengendali kelab baharu itu, Nuri Sahin.

Penyerang BG Pathum, Jaroensak Wonggorn muncul pemain paling cemerlang apabila menjaringan dua gol dalam babak kedua, masing-masing pada minit ke-65 dan 88.

Sebelum itu, BG Pathum sudah mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan tonggak import, Melvelyn Lorenzen (m-14) dan Teerasil Dangda (m-44).

Dortmund seterusnya akan ke Jepun bagi satu lagi aksi persahabatan menentang Cerezo Osaka