Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menewaskan kelab Korea, Ulsan Hyundai dalam perlawanan minggu keempat kumpulan I saingan AFC Champions League (ACL) 2023/24 dengan keputusan 2-1 sekaligus menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

Dua jaringan masing-masing dari Heberty Fernandes dan Akhyar Rashid memastikan kemenangan berpihak kepada JDT dan kini kedua-dua pasukan terikat dengan enam mata dalam kumpulan I di belakang Kawasaki Frontale yang mengutip 12 mata.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kemenangan ini bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak dalam negara malah peminat dari negara jiran iaitu Indonesia turut memberi pujian terhadap kejayaan anak-anak buah Esteban Solari itu.

Salah satu pengamat bola sepak Indonesia iaitu Aun Rahman menegaskan JDT sudah berada di tahap yang tersendiri dan sudah mengecapi pelbagai kejayaan yang mana bola sepak negaranya belum kecapi sehingga saat ini.

“JDT berjaya menang ke atas raksasa bola sepak Asia iaitu Ulsan Hyundai. Pemain tempatan menjaringkan gol kemenangan. Kita boleh berdebat apa sahaja kalau bercakap mengenai bola sepak Malaysia. Dengan JDT, Malaysia boleh mencapai banyak hal yang mana bola sepak Indonesia belum pernah rasai,” katanya.

Tambah beliau, apa yang lebih cemerlang ialah kemenangan baru-baru ini bukanlah kali pertama juara 10 kali Liga Super itu menewaskan wakil dari Korea Selatan dimana tahun lalu, JDT mencipta double ke atas Ulsan dalam saingan peringkat kumpulan.

Untuk rekod, kali terakhir kelab Indonesia beraksi dalam saingan peringkat kumpulan ACL ialah pada edisi 2011 dimana ketika itu Arema menjadi wakil tunggal negara itu.

Arema ketika itu diletakkan dalam kumpulan G bersama Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Cerezo Osaka (Jepun) dan Shandong Luneng (China) dan mereka gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan dengan menduduki tangga tercorot dengan hanya satu mata.

Selepas itu, beberapa pasukan seperti Persipura Jayapura dan Persija Jakarta cuba untuk mengulangi kejayaan tersebut namun gagal melepasi saingan peringkat kelayakan.