Perlawanan antara Selangor menentang Perak bukan sahaja panas di dalam padang namun turut berlaku di luar padang melibatkan penyokong dari kedua-dua pasukan.

Baru-baru ini, Selangor dan Perak bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petali Jaya (MBPJ) dimana skuad Gergasi Merah berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1.

Baca Juga:

Akan tetapi, ada kejadian yang tidak diingini berlaku dimana tiga penyokong Selangor dipercayai diculik selepas menonton perlawanan.

Menurut tangkap layar yang beredar di laman media sosial, tiga penyokong Selangor yang terbabit telah diculik di salah sebuah stesen minyak yang terletak di Lebuhraya NKVE.

Timbul pula dakwaan lain dimana sekumpulan penyokong Perak bukanlah mahu melarikan individu terbabit namun sebenarnya hanya membawa ke balai Polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, masih belum ada sebarang pengumuman dari pihak polis mengenai kejadian ini sama ada ia benar kes culik atau sekadar salah faham.

Pada perlawanan semalam, Ronnie Fernandez menjadi wira bagi Selangor apabila beliau menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.

Aksi tersebut turut diwarnai oleh kontroversi dari pengadil yang mana beliau melayangkan kad merah kepada pemain tengah Selangor iaitu Alex Agyarkwa pada separuh masa kedua selepas beliau didakwa mengasari Wan Zack Haikal.

Ulang tayang menunjukkan Alex tidak mengasari Wan Zack akan tetapi beliau tetap dilayangkan kad merah meskipun pengadil sudah melihat VAR.

Kemenangan semalam meletakkan Selangor di tangga kedua dibelakang pendahulu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana tiga mata memisahkan kedua-dua pasukan.

Selepas ini, Selangor bakal turun menentang Kuching City dalam aksi pertama suku akhir Piala FA dan kemudiannya mereka akan bertandang ke Cheras untuk menghadapi satu lagi musuh tradisi iaitu Kuala Lumpur City.