Pada hari semalam tular satu klip rakaman CCTV seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) sindrom down melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Rajawali I-Park.

Menerusi kemas kini terbaharu, wanita yang disyaki menyimbah air panas ke arah pemuda itu sudah ditahan polis di kawasan berhampiran lokasi kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, malam tadi, petik Kosmo.

Baca Juga:

Penahanan wanita terbabit dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) kurang empat jam kejadian itu tular di media sosial.

Terdahulu Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain, berkata mangsa tidak bekerja dan seorang OKU sindrom down, namun boleh bertutur dengan baik.

Jafri berkata, kejadian itu berlaku dalam lif ketika mangsa mahu pulang ke rumahnya di tingkat 16.

Tambah beliau, punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek dan tidak pernah ada perselisihan faham. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, petik Berita Harian.