Pada hari minggu lalu tular klip video menunjukkan seorang lelaki OKU disimbah air panas oleh seorang wanita semasa berada di dalam lif.

Selepas direman beberapa hari, pihak polis telah menemui motif mengapa wanita berbuat sedemikian.

Baca Juga:

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, siasatan awal mendapati perselisihan faham yang disifatkan agak sensitif itu tercetus antara suspek dan mangsa sekitar tiga atau empat tahun lalu, lapor Harian Metro.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan ke atas wanita terbabit dan siasatan awal mendapati punca adalah disebabkan perselisihan faham yang berlaku dalam tiga ke empat tahun lalu, saya rasa dia (suspek) kenal muka sebab tinggal di flat sama.

“Setakat ini kita sudah merakam percakapan tiga individu termasuk mangsa dan siasatan masih diteruskan, kalau selesai kita akan tuduh awal jika tidak, kita sambung reman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut mempertimbangkan menghantar suspek bagi menjalani pemantauan kesihatan untuk pemerhatian dan pengesahan laporan perubatan manakala siasatan setakat ini mendapati wanita itu bukan pesakit mental.

“Setakat ini kita tengok tiada (rekod pesakit mental). Insya-Allah kita akan majukan untuk kita dapatkan rawatan lanjut terhadap suspek jika dia mempunyai masalah mental di hospital,” katanya.

Terdahulu, kejadian yang berlaku pada jam 9.20 pagi Jumaat menyebabkan seorang lelaki OKU melecur di bahagian depan dan belakang badan serta masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sebelum ini, Pengarah HPP Dr Goh Hin Kwang berkata, mangsa mengalami kecederaan melecur meliputi enam peratus daripada permukaan kulitnya dengan tempoh pemulihan dijangka kira-kira dua minggu

Mangsa kini ditempatkan di Unit Perawatan Kebakaran HPP.

Sumber