Kumpulan heavy metal ikonik antarabangsa, Avenged Sevenfold, bakal menamatkan penantian panjang peminat di Malaysia dengan penganjuran konsert berskala besar selepas 11 tahun.
Sebagai sebahagian daripada siri Jelajah Asia 2026, acara yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada 26 September 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur (sebelum ini dikenali sebagai Axiata Arena).
Kepulangan mereka ini pasti menjanjikan sebuah persembahan yang penuh bertenaga serta memukau peminat tegar muzik rock dan metal tanah air yang merindukan aksi mereka.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, Avenged Sevenfold telah berjaya membentuk landskap muzik heavy metal moden dengan gaya penulisan lagu yang unik serta pengaruh antarabangsa yang luar biasa.
Para peminat, yang turut dikenali sebagai “Deathbats”, bakal dihidangkan dengan lontaran vokal padu, riff gitar yang tajam, serta rangkaian lagu hit seperti Nightmare, Hail to the King, dan Afterlife.

Menariknya, sejak kemunculan terakhir mereka di Malaysia pada tahun 2015, kumpulan ini terus berevolusi dan menghasilkan dua buah album yang mendapat pujian kritikal, iaitu The Stage dan Life Is But a Dream….

Penganjuran konsert epik ini diterajui oleh syarikat penganjur acara terkemuka, Hitman Solutions.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, usaha untuk membawa kumpulan ini ke Kuala Lumpur adalah satu pencapaian yang signifikan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada para peminat tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa pihak penganjur sering menerima mesej dan pertanyaan berterusan daripada peminat yang merindui aksi pentas Avenged Sevenfold, dan komitmen ini direalisasikan demi memastikan Unifi Arena dipenuhi sorakan semangat pada September ini.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan bersejarah ini, penjualan tiket akan bermula dengan sesi Pra-Jualan Artis pada 7 April jam 11.00 pagi, manakala Jualan Umum akan dibuka pada 8 April bermula jam 12.00 tengah hari melalui laman sesawang rasmi www.hitmanlive.com.
Tiket-tiket ditawarkan menerusi lima kategori tempat duduk dengan harga bermula dari RM299 hingga RM699, serta kategori berdiri ‘Rockzone’ yang berharga RM499 tidak termasuk caj pemprosesan.
Konsert yang disokong oleh rakan radio rasmi seperti Hitz FM, Sinar FM, dan Mix FM, serta Astro Gempak sebagai rakan media ini pastinya menjadi salah satu acara muzik terbesar tahun ini.
Sebarang maklumat lanjut berhubung acara ini boleh didapati dengan menghubungi pihak penganjur menerusi e-mel di [email protected] atau talian +6012-2655783.