Seorang penceramah motivasi popular dikalangan pengguna media sosial ditahan selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran diubah suai.
Tujuannya adalah bagi mengelak dikesan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), petik Berita Harian.
Baca Juga:
- 2 Juta Berisiko Kena ‘Blacklist’ JPJ, Sebab Apa?

- Nissan GT-R Antara 13 Kereta Mewah Bernilai RM5 Juta Disita JPJ Kelantan

- MyJPJ & MyBayar PDRM Wajib Log Masuk Guna MyDigital ID Tidak Lama Lagi

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata lelaki berusia 50 tahun itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran tulen pada bahagian hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya.

Bagaimanapun nombor plat bahagian belakang digugurkan satu huruf bagi mengelirukan sistem AWAS.
Tindakan penceramah tersebut telah menyebabkan pemilik nombor plat asal terpaksa menanggung saman terkumpul sejak 2023 sebanyak lebih RM12,600.
Pihak JPJ telah menahan penceramah itu pada jam 9.30 malam Sabtu lalu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang arah Selatan.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner milik penceramah itu menggunakan nombor pendaftaran ‘PRF’ yang dipamerkan di bahagian hadapan, manakala nombor pendaftaran ‘RF’ di belakang.
“Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF memang wujud dan dimiliki individu lain menetap di Perlis.
“Aduan dibuat pemilik asal yang sering menerima notis saman AWAS atas kesalahan yang bukan dilakukannya dan apabila JPJ melaksanakan senarai hitam, beliau terjejas untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) lalu membuat aduan mengenainya,” katanya.
Penceramah terbabit itu mengaku mengubah suai nombor plat belakang bagi mengelak dikesan AWAS.
Dia memandu melebihi had kelajuan iaitu sekitar 140 hingga 160 kilometer dan sering ke negeri di sebelah utara tanah air untuk program motivasi bersama bakal usahawan.
Kini semua saman itu telah dipindahkan semula kepada kenderaan penceramah tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.