Polis sedang giat mengesan pencuri 19 helmet jenama Arai dan Shoei bernilai kira-kira RM63,200 di sebuah kediaman di Taman Bukit Kuchai di sini pada 29 Januari lalu, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemiliknya yang juga lelaki tempatan berusia 30 tahun mendakwa telah keluar rumah pada jam 2 petang dalam keadaan pintu biliknya berkunci.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurutnya, mangsa yang juga peniaga kemudian pulang kira-kira jam 4.45 petang ke bilik sewanya itu mendapati pintu serta tingkap biliknya telah terbuka dan dapati 19 helmet yang diletakkan di dalam almari kaca dan kayu telah hilang.

Difahamkan suspek disyaki masuk ke bilik mangsa melalui pintu pagar hadapan rumah yang tidak berkunci. Kemudian suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang bilik mangsa yang terletak di tingkat atas.

A A Anbalagan berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat dan bilik mangsa berada di tingkat atas.

Tambah beliau lagi, siasatan awal mendapati mangsa menjalankan perniagaan menjual helmet jenama Arai dan Shoei sejak tahun 2011 di laman Facebook dan TikTok.

“Polis telah mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek terlibat untuk tindakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, hantaran Facebook RXZ Members – Official ada meminta pencuri helmet untuk menyerahkan semula barangan curi sekiranya masih ada dan berbincang dengan baik agar laporan polis boleh ditarik balik.

Pada masa sama, jika ada pembeli terbeli ‘helmet curi’ itu turut diminta menyerahkan semula topi keledar berkenaan dan modal pembelian akan diberikan semula sekiranya memberi maklumat mengenai ‘penjual durjana’ terbabit.