Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, memberi peringatan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran Pahang untuk tidak mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat pada kenderaan mereka.

Menurut beliau, bagi mereka yang berbuat sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk penarikan balik darjah serta pingat yang dikurniakan itu.

Baca Juga:

Selain itu, mereka yang didapati menggunakan gelaran palsu juga boleh didakwa mengikut peruntukan sama, petik Buletin TV3.

“Tindakan dikenakan itu selaras mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, membabitkan gelaran atau anugerah yang dikurniakan Sultan Pahang,” terang beliau.

Peringatan itu dibuat selepas dititahkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara.

“Bagi mengesan pesalah yang melanggar enakmen itu, pihak PDRM dan JPJ diminta bekerjasama dalam mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka terbabit,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan pada Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 dan individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sumber