Dunia bola sepak Indonesia dikejutkan dengan berita pengadil yang didakwa menjadi mangsa serangan sekumpulan penyokong ketika mengendalikan perlawanan bola sepak kampung di Sukajaya, Kabupaten Bogor.

Menurut laporan Fajar Online, kejadian berlaku ketika kejohanan bola sepak yang terbuka kepada komuniti tempatan di kawasan tersebut.

Kejohanan yang sepatutnya menjadi acara riadah, dan hiburan sukan telah berubah menjadi medan keganasan.

Ini apabila berlaku ketidakpuasan hati segelintir penyokong ke atas dua orang pengadil yang mengadili perlawanan tersebut.

Mereka masuk ke padang untuk menyerang pengadil. Pembantaian yang dilakukan benar benar ganas dilakukan ke atas pengadil.

Mujur tiada nyawa yang melayang kerana serangan ganas tersebut. Dilihat beberapa individu membantu menghalang dan meredakan keadaan. Untuk mengelak pengadil daripada diserang dengan lebih teruk terutama sekali ada paparan menunjukkan ada individu yang mahu memukul pengadil dengan kayu.

Kedua dua pengadil dilaporkan berada di dalam keadaan stabil selepas kejadian tersebut.

Identiti pengadil berkenaan serta kronologi sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan sepenuhnya ketika laporan tersebut diterbitkan.

Polis Bogor juga dilaporkan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Insiden ganas itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pengadil dan pegawai perlawanan.

Ramai yang menganggap nyawa terlalu berharga untuk dipertaruhkan bagi mengadili aksi bola sepak kampung seperti itu.