Minat mendalam terhadap gerakan Pengakap mendorong seorang pemimpin Pengakap dari Pontian, Johor, Khairul Anuar Mosmin, mengumpul lebih 5,000 lencana kepengakapan hasil penyertaannya dalam pelbagai jambori sejak lebih sedekad lalu.

Hobi yang bermula sekitar tahun 2013 itu kini turut diwarisi oleh anak didiknya, termasuk Nur Damia Darwisya Khairul Anuar, Farah Syazwana Mohd Shafie, dan Nur Farah Humairah Muhammad Aliyaris Affandi.

Menurut Khairul Anuar, himpunan lencana berkenaan bukan sekadar hiasan atau simpanan peribadi, sebaliknya melambangkan rekod perjalanan dan pengalaman luas sepanjang penglibatan mereka dalam pelbagai program kepengakapan, petik hantaran Facebook Pengakap Malaysia.

“Saya menanam minat ini kepada anak-anak didik supaya mereka mempunyai koleksi sendiri serta mahir mempamerkannya melalui gubahan atau susunan tertentu.

“Koleksi ini turut dibawa ke jambori sebagai bahan pameran dan perkongsian bersama ahli Pengakap dari pelbagai negeri serta luar negara,” katanya.

Beliau menambah, aktiviti bertukar lencana merupakan tradisi yang berkesan untuk mengeratkan silaturahim dan menambah kenalan baharu sepanjang sesuatu perhimpunan berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa proses mengumpul koleksi berskala besar memerlukan masa yang panjang dan penyertaan berterusan, memandangkan setiap lencana membawa nilai serta cerita unik yang tersendiri.

Langkah berkenaan secara tidak langsung dapat memperkenalkan kepelbagaian identiti dan reka bentuk lencana dalam gerakan Pengakap, sekali gus diharap dapat menarik minat generasi muda untuk terus aktif dalam aktiviti kepengakapan.