Penganjur konsert ‘G-Dragon 2025 World Tour [ÜBERMENSCH]’ di Malaysia, Star Planet berpendirian tegas dalam menangani aktiviti ‘scalping’ tiket dan penjualan semula tiket tanpa kebenaran untuk tujuan keuntungan.

Dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan, Star Planet mendedahkan akan membatalkan tiket yang dibeli melalui ‘scalper’.

Baca Juga:

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, para peminat G-Dragon meluahkan rasa kecewa dan marah apabila laman sesawang penjualan tiket kerap tergendala serta mengalami masalah teknikal.

Lebih menyemarakkan lagi api kemarahan mereka, sudah ada ‘scalper’ yang menjual semula tiket tersebut dengan harga yang tidak masuk akal.

“Kami telah menerima maklumat mengenai beberapa kes yang disyaki melibatkan scalping tiket. Pembelian tiket tersebut kini sedang disiasat dengan lebih lanjut.”

“Sebarang tiket yang dikenal pasti sebagai hasil aktiviti scalping atau dijual semula pada harga yang melampau akan DIBATALKAN sepenuhnya atas budi bicara pihak penganjur, tanpa sebarang notis awal atau pemulangan wang.”

“Sebaik sahaja pembelian tiket tersebut disahkan sebagai hasil scalping, tiket-tiket berkenaan akan DIBATALKAN serta-merta dan akan dijual semula kepada orang awam pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.”

“Para peminat diingatkan dengan tegas untuk membeli tiket hanya melalui saluran rasmi iaitu di my.bookmyshow.com dan starplanet.com.my.”

“Tiket yang dibeli melalui sumber tidak rasmi mungkin tidak sah, dan anda berisiko tidak dibenarkan masuk ke konsert tanpa sebarang bayaran balik.”

“Pihak penganjur akan terus memantau aktiviti scalping tiket dan akan membatalkan tiket yang terbukti dijual secara haram.”

“Jangan beli tiket daripada scalper – Lindungi akses anda ke konsert dan bantu kami memastikan pengalaman yang adil untuk semua penonton.”

Peminat G-Dragon Masih Meragui

Walaupun kenyataan rasmi telah dibuat, terdapat segelintir peminat G-Dragon yang masih meragui tindakan bakal diambil Star Planet itu.

 

Malah, ruangan komen berhubung kenyataan rasmi itu juga turut dihujani dengan kritikan serta menjadi tempat peminat G-Dragon melampiaskan kemarahan mereka susulan perkara tidak diingini ini.