Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fave, Joel Neoh, akan meletakkan jawatannya pada awal Mac, dua tahun selepas syarikat itu diambil alih oleh platform dagang India, Pine Labs, dengan harga USD45 juta (~RM199.33 juta).

“Saya bersyukur dapat bekerja dengan bakat-bakat terbaik di Asia Tenggara untuk membina Fave menjadi jenama dikenali ramai. Kini, satu daripada setiap tiga orang Singapura,dan jutaan pengguna di seluruh Malaysia, Indonesia, dan India menggunakan Fave setiap hari untuk pembayaran dan ganjaran,” kata Neoh dalam satu kenyataan.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Neoh adalah salah seorang usahawan-pelabur yang dikenali di Asia Tenggara. Pada tahun 2010, beliau bersama-sama individu lain mengasaskan platform pembelian berkumpulan GroupsMore di Malaysia, yang kemudian diambil alih oleh Groupon.

Fave bermula daripada perkhidmatan langganan gim KFit pada tahun 2015 dan kemudiannya diberi nafas baharu apabila ia mengambil alih perniagaan Groupon di tiga negara di Asia Tenggara dua tahun kemudian.

Fave menawarkan e-kad, kad digital yang menyediakan pulangan tunai, serta sistem pembayaran digital, portal tawaran dan perkhidmatan bayar kemudian. Syarikat mula berkembang dengan mencatatkan jumlah transaksi tertinggi pada kadar pertumbuhan 40% setiap suku pada akhir tahun 2022.

Rakan kongsi Neoh, Yeoh Chen Chow, akan terus memimpin perniagaan tersebut bersama-sama dengan pengurus am Singapura, Avantika Jain, pengurus am Malaysia yang baru dilantik Aik Kuang Heng dan pasukan kepimpinan tempatan di Indonesia dan India.

Neoh akan terus aktif dalam industri teknologi serantau melalui pelaburan dalam lebih daripada 25 syarikat dengan peranan penasihat di Endeavor Malaysia, XA Network dan Universiti Sunway. Beliau juga merupakan salah seorang pelabur di Prenetics yang tersenarai di Nasdaq.