Betapa hebatnya pengaruh pengasas Off-white™, Virgil Abloh dalam dunia fesyen dunia ketika ini. Jenama fesyen terkemuka dunia, Louis Vuitton (LV) baharu sahaja melantik Virgil sebagai pengarah artistik untuk bahagian menswear jenama itu menggantikan pereka fesyen sebelum ini, Kim Jones.

Selepas Kim Jones tidak lagi bersama jenama LV, kerusi pereka fesyen di LV kosong dan nama Virgil meniti di mulut peminat fesyen Eropah sebagai individu yang akan menggantikan Kim Jones. Pemilihan Virgil ini sudah boleh diduga kerana beliau mempunyai pemikiran dan idea kreatif yang boleh membantu jenama berkenaan pergi lebih jauh. Virgil mengesahkan berita ini dengan posting yang “SIMPLE” ini di Instagram.

Kim Jones turut mengucapkan tahniah kepada Virgil melalui akaun Instagram miliknya. Walaupun Kim tidak lagi bersama LV, Kim terus disambar jenama mewah Dior untuk menjadi pengarah artistik baharu jenama berkenaan.

Virgil berjaya membawa jenama Off-white™ beliau setaraf dengan jenama fesyen mewah yang lain dalam beberapa tahun sahaja. Mungkin akan ada kolaborasi Louis Vuitton x Off-white™ di masa akan datang? Kita tunggu dan lihat.