Sejak semalam satu negara heboh dengan kejadian rakaman seorang pengasuh wanita warga Singapura yang juga pengurus sebuah pusat intervensi kanak-kanak di Ampang memukul seorang kanak-kanak autisme.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa dipercayai didera pada 1 Oktober lalu sekitar 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya menyedari terdapat kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata anaknya.
Bapa mangsa terkejut setelah melihat semula rakaman cctv yang ada pada premis tersebut di mana anaknya dilayan dengan kasar oleh pengurus pusat interversi itu sendiri apabila mangsa mengelak untuk makan.
Hasil siasan lanjut mendapati wanita warga asing berusia 51 tahun itu turut menggajikan tiga pekerja warga tempatan yang juga berada di pusat itu semasa kejadian tersebut berlaku.
“Wanita itu mempunyai tujuh pelajar termasuk mangsa yang kesemuanya OKU (autisme). Hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan yang dikendalikan oleh suspek telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal mendapati status lesen dimilikinya telah tamat tempoh,” terang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.
Pas lawatan wanita tersebut turut disyaki telah tamat tempoh dan dia direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh.
Tambah Mohamad Farouk, polis memanggil lima saksi dan pihaknya setakat ini sudah mengambil keterangan dua saksi berhubung kejadian itu.
“Hari ini tiga saksi dipanggil untuk dirakam keterangan.
“Kes ini masih lagi dalam siasatan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat artikel ini ditulis, hantaran asal oleh bapa mangsa telah mendapat perhatian oleh puluhan ribu pengguna media sosial mahukan keadilan serta tindakkan tegas dikenakan kepada si pelaku yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Dalam berita lain, Loca B berasa sedih apabila permohonan kewarganegaraan Malaysia untuk anaknya seperti tiada pengakhiran yang baik. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
Berderai Air Mata, Loca B Terkilan Anak Masih Belum Dapat Kewarganegaraan Malaysia
Kecuaian Punca Kemalangan Maut, Ahmad Dhani Tepati Janji Sara Enam Janda Sejak 8 Tahun Lalu