Ketua jurulatih skuad kebangsaan Bahrain, Dragan Talajic menganggap Indonesia bukan lawan yang patut dianggap mudah menjelang perlawanan antara kedua-dua pasukan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 pada 11 Oktober ini.

Menurut Talajic, skuad Garuda mempunyai dua kelebihan yang menurut beliau boleh menyukarkan pasukan bimbingannya untuk meraih kemenangan.

Baca Juga:

“Indonesia merupakan pasukan yang bagus ketika bertahan. Mereka turun menentang Arab Saudi dan Australia hanya dibolosi dengan satu gol,” katanya.

Selain itu, Talajic turut memuji kualiti serangan yang ditampilkan oleh skuad bimbingan Shin Tae-yong itu dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

“Transisi serta gerakan serangan balas mereka cukup bagus. Kami perlu berwaspada dimana kami perlu lebih bersabar dalam menunggu peluang untuk menyerang.

“Ada yang menyangka bahawa Indonesia adalah lawan yang mudah untuk Bahrain, tetapi saya berfikir sebaliknya. Jika kami mencatat kemenangan 1-0, saya akan merasa gembira.

“Bagi saya, yang paling penting ialah kami kemenangan dalam kempen kelayakan,” katanya.

Bahrain ketika ini menduduki tangga ketiga dalam carta kumpulan C dengan tiga mata, satu mata dihadapan Indonesia yang berada di tangga keempat.

Bahrain berjaya menewaskan Australia pada perlawanan pertama namun mereka dibelasah Jepun dengan keputusan 5–0 pada perlawanan kedua.

Selepas bertemu Indonesia, Bahrain akan berkunjung ke Arab Saudi manakala skuad Garuda akan turun menentang China.