Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tidak berselindung dalam reaksinya apabila menyatakan rasa dukacita, kesal dan kecewa terhadap insiden yang dikatakan hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa mengambil langkah membuat hantaran di media sosial.
Difahamkan, pelajar terbabit sebelum ini meminta untuk keluar daripada MRSM kerana tidak lagi mampu menanggung tekanan akibat perbuatan buli yang didakwa berlaku.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga maklum tentang perkara itu yang tular di lama Treads, selepas ibu kepada mangsa meluahkan tentang rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku ke atas anaknya.
“Saya amat berdukacita dan kesal dan dan kecewa kerana masih berlalu perbuatan buli yang dikhabarkan kepada saya menerusi media sosial, Threads, oleh ibu mangsa,” kata pengerusi MARA tersebut menerusi siaran Facebook.

Menurut Asyraf, berdasarkan maklumat awal yang diterima, insiden tersebut dipercayai melibatkan sekurang-kurangnya enam pelajar Tingkatan Lima.
Kes itu turut dilaporkan kepada pihak polis, dan kesemua pelajar yang disyaki terbabit telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.
Arah tindakan pantas dan tegas
Susulan perkembangan itu, MARA bertindak pantas dengan mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) serta pihak pentadbiran MRSM untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam tempoh 24 jam.
Langkah ini diambil bagi memastikan siasatan dalaman dijalankan segera, selain menentukan tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap mana-mana pelajar yang terlibat.
Beliau menambah: “Perbuatan ini disyaki dilakukan oleh 6 orang pelajar Tingkatan 5, dan ibu bapa pelajar tersebut telah pun melaporkan kepada pihak berkuasa khususnya PDRM.
“Dan saya dimaklumkan kenam enam orang pelajar tersebut telah pun ditahan reman selama 2 hari di IPD Bakri.
Asyraf dalam kenyataannya menegaskan bahawa sekiranya terbukti bersalah, tindakan tegas tidak akan dikompromikan. Antara hukuman yang menanti termasuk penyingkiran daripada MRSM, sebagai mesej jelas bahawa budaya buli tidak mempunyai tempat dalam sistem pendidikan MARA.
Asyraf menambah: “Saya telah mengarahkan bahagian pendidikan menengah MARA dan pihak pentadbir MRSM supaya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab – JDM – dengan kadar segera dalam tempoh satu hari.
“Ini untuk menyissat dan mengambil tindakan tegas menyingkirkan pelajar-pelajar yang terbabit dengan perbuatan ini.
“Walaupun dengan apa juga alasan, perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri kononnya untuk mendisiplinkan pelajar-pelajar junior adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan dikompromi.
“Saya selalu tekankan You Touch You Go!”
Beliau turut mengingatkan bahawa semua pelajar mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan sebarang kejadian buli kepada guru, warden atau pihak pentadbiran tanpa rasa takut.
Dalam masa yang sama, MARA juga memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi insiden buli akan turut berdepan tindakan.
“Amaran ini berkali-kali telah saya beritahu kepada semua pelajar-pelajar kalau ada sahaja perbuatan buli, kalian tiada tempat di MRSM.
“Buat pelajar-pelajar, jangan takut untuk melaporkan perbuatan buli. Jangan ambil tindakan keluar dari MRSM kerana tidak tahan dengan buli.
“Perbuatan ini harus kita kekang dan harus kita laporkan kepada pihak pentadbir MRSM.
“Kalau ada sebarang bentuk tindakan untuk menyorokkan perbuatan ini pasti pihak MARA akan mengambil tindakan tegas,” jelasnya lagi.