Seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa pengerusi NGO tersebut yang dikaitkan dengan Op Serantau, petik New Straits Times.

Pada Jun tahun lalu, SPRM telah membongkar dakwaan penyelewengan dana sumbangan orang awam berjumlah kira-kira RM26 juta oleh NGO berkenaan.

Menurut sumber, kes tersebut mula didedahkan susulan penangkapan lima individu, termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari, dan pegawai kewangan NGO terbabit dalam Op Serantau yang diketuai oleh SPRM Selangor.

Tangkapan tersebut dilakukan dalam serbuan di beberapa lokasi di Selangor, Melaka, dan Pulau Pinang.

Dalam kes berasingan, SPRM memaklumkan bahawa Mahkamah Sesyen Shah Alam juga akan menyampaikan keputusan perbicaraan melibatkan seorang bekas pengarah projek pada hari ini.