Lebih daripada 40 rakyat Malaysia dan Singapura berkumpul dalam satu sidang media untuk berkongsi kesan sampingan yang mereka alami selepas menggunakan produk kecantikan yang dijual oleh seorang selebriti internet dari Malaysia, lapor Oriental Daily.

Produk kecangikan tersebut didakwa mengandungi merkuri, menyebabkan pengguna mengalami pelbagai kesan sampingan, malah ada laporan yang mendakwa 10 wanita hamil mengalami keguguran.

Berdasarkan laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), krim malam dan beberapa produk penjagaan kulit lain dari syarikat yang sama telah diharamkan secara rasmi kerana mengandungi merkuri.

Mula Beli Produk Kecantikan Sejak 2021

Seorang mangsa, Lu dari Johor Bahru, berkata beliau tertarik dengan promosi produk kecantikan tersebut di Instagram pada tahun 2021 dan membeli set pertama produk penjagaan kulit itu dengan harapan dapat menghilangkan kesan melasma yang muncul di wajahnya selepas bersalin.

Selepas menggunakannya untuk beberapa ketika, beliau mendakwa melihat hasil yang ketara dan terus menggunakannya setiap hari.

Produk Kecantikan

Namun, selepas berhenti menggunakan produk tersebut, kesan sampingan seperti kemerahan, bengkak, dan gatal-gatal mula muncul di wajah.

Beliau terpaksa membeli produk tersebut dan menggunakannya secara berselang-seli dari tahun 2021 hingga 2023.

Seorang lagi pengguna dari Rawang, Selangor, mendedahkan bahawa beliau telah membelanjakan RM450 untuk sebotol produk penjagaan kulit seberat 30 gram selepas melihat promosi di Instagram.

“Kakak saya berhenti menggunakan produk tersebut untuk sementara waktu pada tahun 2022 kerana kehabisan stok. Tanpa disangka, kesan sampingan yang serius terus muncul di wajahnya dalam tempoh berhenti itu,” katanya.

Beliau juga berkata keadaan kulitnya bertambah baik apabila beliau kembali menggunakan produk kecantikan tersebut, sebelum akhirnya mengetahui kandungan merkuri di dalamnya.

Beliau telah membelanjakan lebih RM14,000 untuk membeli 38 set produk kecantikan tersebut.

Produk Kecantikan

Seorang lagi pengguna yang enggan dikenali berkata beliau mengalami keguguran pada minggu ke-12 kehamilannya.

“Saya tak pasti 100% bahawa kandungan saya terjejas akibat komponen merkuri. Tetapi saya percaya bahan toksik itu cukup untuk menjejaskan perkembangan dan kesihatan janin dalam rahim,” katanya.

Datuk Seri Chong Sin Chew, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, turut hadir dalam sidang media tersebut dan berkata lebih daripada 14 bayi baru lahir menghadapi masalah kulit sejurus dilahirkan.

Beliau menyeru kerajaan supaya campur tangan dan menyiasat perkara ini.

Kesan Merkuri Yang Membimbangkan

Merkuri adalah bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, termasuk kerosakan buah pinggang, gangguan sistem saraf, dan masalah kulit yang teruk.

Produk Kecantikan

Penggunaannya dalam produk kosmetik adalah dilarang di kebanyakan negara kerana risiko kesihatan yang serius.