Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pelaksanaannya mengenai kadar pengurangan kompaun trafik terkini yang berkuat kuasa serta-merta bagi memberikan kemudahan kepada pemilik kenderaan menjelaskan tunggakan Notis Kompaun Trafik.

Menerusi kadar baharu ini, pemilik kereta dan motosikal yang mempunyai kompaun dikeluarkan sebelum tahun 2021 layak menikmati kadar pengurangan sehingga RM5.00 sahaja.

Manakala bagi kompaun yang dikeluarkan selepas tahun 2021, kadar khas yang dikenakan adalah sebanyak RM10.00.

Tawaran ini diharapkan dapat meringankan beban orang awam serta menggalakkan pemilik kenderaan menyelesaikan tunggakan kompaun mereka secepat mungkin.

Bagi memudahkan urusan orang ramai, pelbagai kaedah pembayaran telah disediakan sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Pembayaran secara fizikal boleh dibuat di kaunter-kaunter bayaran DBKL serta seluruh kaunter Pos Malaysia.

Bagi transaksi secara dalam talian pula, pengguna boleh menggunakan aplikasi PAY@KL yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store, ataupun melayari portal PBTPay di https://pbtpay.kpkt.gov.my.