Penggiat industri vape menyatakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan negeri Terengganu untuk mengharamkan penjualan produk vape di negeri itu.
Langkah ini dianggap tidak efektif serta mampu memberi impak negatif kepada ekonomi tempatan dan sektor pekerjaan rakyat.
Baca Juga:
- Bermula 1 April Kerajaan Haramkan Rokok Dan Vape Dijual Secara Terbuka
- Pelajar Tingkatan 2 Jatuh Dari Bumbung Selepas ‘High’ Hisap Vape
- Ibu Bapa Dan Guru Diminta Lebih Peka Dengan Rekaan Terbaru Vape Yang Boleh Menghancurkan Pelajar
Industri vape ingin menegaskan bahawa produk vape kini tertakluk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, iaitu akta yang sama digunakan untuk mengawal selia rokok.
Justeru, menurut Muhd Kamaruzaman Mahmud, Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, pengharaman total terhadap penjualan vape adalah bercanggah dengan akta tersebut, yang bertujuan memperkenalkan kawal selia yang menyeluruh dan berkesan, bukan larangan mutlak.
Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu merupakan cabang negeri kepada Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM), yang berperanan mewakili dan memperjuangkan kepentingan peniaga vape Melayu di peringkat negeri Terengganu.
“Larangan menjual vape bukanlah kaedah terbaik untuk mengelakkan penggunaan oleh golongan bawah umur termasuk wanita. Sebaliknya, pelaksanaan peraturan ketat seperti yang digariskan oleh kerajaan Persekutuan adalah lebih praktikal dan bertanggungjawab.”
“Industri komited untuk mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, termasuk, had umur pembelian yang diperketatkan, penjualan di premis berlesen yang mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk berdaftar dan berlabel dengan amaran kesihatan dan larangan iklan serta promosi yang menyasarkan remaja.”
Beliau turut menambah, terdapat lebih 169 kedai vape di seluruh Terengganu, melibatkan lebih 400 pekerja tempatan. Larangan penuh akan menyebabkan ramai hilang sumber pendapatan serta menjejaskan ekosistem perniagaan yang sah dan mematuhi undang-undang.
Oleh yang demikian, industri menyarankan penubuhan jawatankuasa khas antara kerajaan negeri dan pemain industri bagi menilai semula pendekatan terbaik dalam menguruskan isu ini.
Industri percaya bahawa penyelesaian harus dirangka bersama, bukan melalui tindakan unilateral atau dipolitikkan.
“Perlu diingat bahawa undang-undang kawal selia vape telah diluluskan di Parlimen selepas perbincangan menyeluruh dan konsensus pelbagai pihak.
Maka, sebarang tindakan kerajaan negeri wajar selaras dengan dasar kebangsaan agar tidak berlaku pertindihan atau kekeliruan,” ujar Kamaruzaman.
Dalam pada itu, Kamaruzaman menafikan data yang mengatakan 65% vape mengandungi dadah dan kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali.
“Kami ingin membetulkan kekeliruan berkaitan dakwaan bahawa 65% produk vape mengandungi dadah. Statistik tersebut merujuk kepada jumlah rampasan dalam operasi polis yang menyasarkan sindiket dadah, bukan daripada premis sah yang menjual produkvape berdaftar. Maka, ia tidak wajar dijadikan asas untuk menggubal dasar atau melaksanakan larangan menyeluruh.”
Kerajaan harus sedar bahawa masalah utama yang timbul berkaitan produk vape sering kali berpunca daripada penyalahgunaan produk tidak sah, bukan produk yang telah didaftarkan dan dikawal selia oleh KKM.
Justeru, penyelesaian bukanlah melalui larangan, tetapi melalui pendidikan, penguatkuasaan dan kolaborasi.
Industri menyeru agar kerajaan negeri mempertimbangkan semula cadangan ini secara menyeluruh demi manfaat rakyat, industri dan kesejahteraan kesihatan awam secara bersepadu.