Walau sekalipun pembayaran secara dalam talian sangat memudahkan urusan, ada kalanya segelintir individu boleh tersalah memasukkan angka sewaktu membuat transaksi secara tidak sengaja.
Memetik dari laporan Weirdkaya, sebuah kedai akuarium di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini telah membuat hantaran di media sosial merayu seorang pelanggan yang terlebih bayar untuk ikan buntal redline supaya segera menghubungi mereka.

Dalam satu hantaran Facebook bertarikh 14 September, kedai akuarium tersebut menulis bahawa seorang pelanggan lelaki hanya membayar RM1.60 untuk ikan buntal redline yang sebenarnya berharga RM1,600.
Tambahnya lagi, dengan bersangka baik, pelanggan tersebut mungkin tersilap memasukkan jumlah yang salah semasa membuat pembayaran melalui e-dompet Touch ‘n Go (TnG) miliknya.

Bercakap kepada Sin Chew Daily mengenai kejadian itu, pemilik kedai akuarium tersebut berkata pembesar suara pembayaran tanpa wayar mereka tidak berfungsi pada masa itu.
Pemilik itu juga mengakui bahawa juruwang tersebut cuai dan tidak memeriksa sama ada pelanggan telah membayar jumlah yang betul.
“Kami tidak berniat untuk memalukan pelanggan tersebut (dengan hantaran itu), sebaliknya hanya ingin memaklumkannya tentang kesilapan yang berlaku dan berharap agar warganet dapat membantu menjejaki beliau.
“Jika pelanggan tersebut ternampak hantaran ini, kami berharap dia akan kembali dan membayar baki jumlah atau ini akan menjadi hadiah paling mahal dalam hidupnya.”
Menerusi ruangan komentar, netizen meluahakn rasa terkejut apabila melihat kesilapan besar itu boleh berlaku tanpa disedari oleh pemilik walaupun secara terbuka.
“Kehilangan dua sifar memang menakutkan.”
“RM160 masih boleh dimaafkan, tetapi RM1.60 memang tidak masuk akal.”
“Inilah akibatnya bila tidak mengambil serius terhadap pekerjaan,”
Demikian adalah sebahagian reaksi yang diluahkan oleh netizen mengenai insiden tersebut dan berharap agar individu terbabit boleh menyerahkan baki pembayaran yang belum dilunaskan sepenunhya itu.