Kehadiran jenama besar di tapak Bazar Ramadan kini menjadi topik hangat dalam kalangan netizen, sehingga mencetuskan perdebatan mengenai kelangsungan ekonomi peniaga kecil tempatan.
Isu ini mula mendapat perhatian susulan luahan kebimbangan beberapa peniaga kecil di media sosial. Mereka mendakwa kehadiran booth jenama besar di kawasan yang sama memberikan tekanan persaingan yang sengit.

Faktor utama yang dibangkitkan adalah strategi harga, di mana jenama besar mampu menawarkan minuman pada harga serendah RM3.90 secawan, sekali gus menarik tumpuan pelanggan dan menjejaskan jualan peniaga tradisional.
Dilema Kos Peniaga Kecil
Pihak peniaga kecil menjelaskan bahawa mereka terpaksa menetapkan harga yang lebih tinggi bagi menampung kenaikan kos bahan mentah serta kos overhed yang kian meningkat.
Menurut mereka, margin keuntungan yang kecil meletakkan kelangsungan perniagaan mereka dalam keadaan kritikal sekiranya mereka cuba melawan arus dengan menurunkan harga secara drastik.
Reaksi ‘Pedas’ Pengguna
Walau bagaimanapun, keluhan tersebut nampaknya tidak mendapat simpati sepenuhnya daripada orang awam. Rata-rata netizen menyambut baik kehadiran jenama besar ini sebagai alternatif yang lebih menjimatkan di tengah-tengah ketidaktentuan kos sara hidup.
Antara hujah utama yang dibangkitkan oleh pengguna termasuklah keupayaan jenama besar menjual pada harga rendah membuktikan bahawa harga yang lebih berpatutan masih boleh ditawarkan tanpa mengabaikan kualiti rasa.
Selain itu, pengguna cenderung memilih jenama besar kerana standard prosedur operasi (SOP) kebersihan dan kualiti perkhidmatan yang lebih terjamin.
Terdapat segelintir netizen mendakwa pernah berdepan pengalaman buruk dengan peniaga air balang yang didakwa menggunakan air paip tanpa dimasak, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tahap sanitasi peniaga jalanan.
Fenomena ini secara tidak langsung memberi isyarat kepada peniaga tempatan agar lebih kompetitif dalam aspek kualiti dan harga bagi memastikan mereka kekal menjadi pilihan utama pelanggan di masa hadapan.