Honda Malaysia hari ini tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberikan penjelasan berhubung spesifikasi sistem brek belakang bagi model Honda City Baharu (Varian E).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak syarikat, spesifikasi sebenar sistem brek belakang bagi model Honda City Varian E adalah menggunakan brek jenis dram (drum brake).
Langkah penjelasan ini dibuat susulan maklum balas daripada pelanggan yang menyedari terdapat percanggahan maklumat pada maklumat spesifikasi awal.
Honda Malaysia turut menyatakan penghargaan kepada pelanggan yang membangkitkan isu berkenaan dan mengesahkan bahawa pihak mereka telah menghubungi pelanggan terbabit bagi menyelesaikan perkara tersebut secara baik.
Sebagai tindakan susulan, Honda Malaysia mengesahkan bahawa semua bahan promosi dan maklumat sedia ada berkaitan Honda City Baharu sedang ditarik balik. Pihak syarikat akan mengemas kini serta mengedarkan bahan terbaharu di semua pengedar sah dan platform dalam talian dengan kadar segera.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020.