Untuk meraih pendapatan setinggi RM100,000, kita pasti akan bayangkan yang seseorang itu perlu menjawat jawatan besar di dalam syarikat berprestij atau pun memiliki bisnes yang mega menerusinya.
Realitinya, dengan perniagaan di jalanan sahaja sudah mampu menjana pendapatan sebegitu rupa meskipun tidak berpakaian suit atau dipandang ‘lekeh’ oleh masyarakat.
Kavienan Subramaniam, seorang graduan kejuruteraan mekanikal telah membuktikan dengan melakukan jualan teh masala secara berbasikal di sekitar ibu kota mampu memberikan pulangan lumayan.
Nama mesra disapa Kavi mendedahkan niatnya pada awal hanyalah mahu mencari duit sampingan sementara menunggu panggilan kerja.
Bercerita lanjut kepada Majoriti, perniagaan diusahakan Kavi atau lebih dikenali dengan jenama Tea Thambi serta sudah memiliki dua kafe dan lima gerai dengan kesemuanya beroperasi di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Perniagaan yang semakin berkembang pesat itu memerlukan bantuan seramai 17 pekerja dan sebuah dapur pusat terletak di Segambut.
“Kalau dulu waktu mula-mula saya boleh jual tak sampai 100 cawan sehari, sekarang ini sehari kami boleh jual dalam 2,000 hingga 3,000 cawan,” katanya.
Selain daripada rasanya yang autentik, teh masala Tea Thamby popular ini sedia ditawarkan pada harga serendah RM1 hingga RM4 sekaligus mampu dibeli oleh orang ramai.
Tahukah anda bahawa Kavi memerlukan tempoh selama setahun dalam menyempurnakan resepi teh masala popular itu? Sebelum boleh mencapai kesempurnaan itu, ucapan terima kasih buat ibunya yang mengajar resipi kepada Kavi.
Dalam masa sama, dia turut mengambil maklum balas daripada pelanggannya dalam mendapatkan kesempurnaan resepi teh masalanya.
“Masa jual itu, ada juga pelanggan dia cakap ini terlebih, ini terkurang. Jadi macam trial and error juga. Setiap hari saya eksperimen.
“Saya ambil masa setahun juga sebelum dapat rasa yang semua orang suka dan kekal sampai sekarang,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik.
Kavi berkata, teh masala diperbuat daun teh berkualiti tinggi dan bahan semula jadi yang diperoleh daripada pembekal dipercayai.
“Teh campuran kami juga dibuat dengan bahan-bahan terapeutik, dan ini membezakan teh kami di pasaran,” ujar pemuda berusia 27 tahun ini.
Rupanya selain teh masala, kafe dan gerai Teh Thambi turut menyediakan jualan pelbagai aneka lain seperti kopi, teh halia, roti bakar serta kuih muih termasuk vadai dan karipap.
Apabila ditanya mengenai detik yang meyakinkannya bahawa perniagaan teh masala tersebut boleh pergi lebih jauh, Kavi berkata, perkara itu diperolehi ketika dia mula berjualan secara berbasikal di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
“Masa tengah berkayuh itu, memang ramai minta teh. Cumanya ramai mereka ini malas nak berjalan. Jadi kalau kita yang pergi ke sana, mereka mesti beli.
“Jadi itu yang mula sedarkan saya bahawa permintaan terhadap teh masala ini memang ada. Tapi kualiti mesti ada, dan Harga pun mesti berpatutan,” ujarnya.
Kavi memulakan perniagaan jualan teh masalanya sekitar Julai 2020 iaitu mula popular ketika COVID-19 dengan menggunakan basikalnya dan bergerak di sekitar Brickfields dan Masjid India.
Menurut Kavi, pada waktu itu, dia menjalankan Tea Thambi dengan berbekalkan modal awal sebanyak RM500 yang merangkumi tong minuman, stok teh, susu dan cawan serta sedikit ubah suai terhadap basikal jenis fixi yang digunakan sewaktu belajar.
Usaha membuahkan hasil apabila perniagaan teh masalanya berkembang secara perlahan-lahan sehingga membolehkannya membuka gerai baharu dan juga turut mengambil pekerja kira-kira hampir setahun kemudian.
Menurut Kavi, pada waktu ini, perniagaan Tea Thambi dianggarkan memperoleh pendapatan hampir RM100,000 sebulan.
Jumlah tersebut merupakan hasil daripada jualan di dua kafenya di Jalan Tun Perak dan Masjid Jamek serta lima gerai antaranya di Brickfields, Lebuh Ampang serta Bukit Bintang.
Dia juga akan berkayuh sejauh kira-kira 10 kilometer daripada rumahnya di Bandar Tun Razak, Cheras untuk berjualan di tengah-tengah ibu kota yang lebih mudah diakses orang ramai.
Dalam pada itu, Tea Thambi turut mengambil tempahan bagi menyediakan penyediaan teh dan makanan termasuk di luar Lembah Klang.
Bergerak ke hadapan, Kavi berkata, dia ketika ini mendapat banyak permintaan daripada pihak lain untuk membuka francaisnya di luar Lembah Klang.
Bagaimanapun, menurutnya, dia perlu mengumpul lebih banyak pengalaman dalam menguruskan perniagaan sebelum mengambil Langkah seterusnya.