Baru-baru ini tular di media sosial, apabila seorang lelaki mendakwa bahawa jogging adalah satu scam yang dirancang oleh Yahudi dalam menyebarkan propaganda mereka, khususnya melalui jenama terkenal seperti Nike dan Adidas.

Lelaki dalam video tersebut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berlari atau jogging, sebaliknya menggalakkan jalan kaki laju sebagai aktiviti yang lebih baik untuk kesihatan.

Dakwaan beliau ini bukan saja mencetuskan pelbagai soalan dan perdebatan, malah mencabar cara fikir masyarakat mengenai aktiviti senama yang selama ini dianggap baik untuk kesihatan.

Dalam video tersebut, individu itu menegaskan bahawa jenama seperti Nike dan Adidas telah mencipta satu bentuk “penipuan besar” dengan mempromosikan jogging semata-mata untuk menjual kasut mereka.

Menurutnya, jogging kononnya akan merosakkan kaki, tisu, dan alignment badan manusia, malah menyatakan bahawa berjalan kaki laju lebih efektif untuk menurunkan berat badan dan membakar lemak tepu.

Beliau juga menyarankan aktiviti sukan lain seperti memanah, menunggang kuda, berenang, dan berbasikal, yang menurutnya lebih selamat dan sihat daripada berlari.

Adakah jogging satu scam yang dirancang oleh syarikat kasut, atau adakah ia sebenarnya salah satu bentuk senaman yang terbukti bermanfaat?

Menurut pakar kesihatan, kajian saintifik dan laporan daripada Better Health, jogging sebenarnya ada banyak kelebihan.

Ia dapat membantu meningkatkan kesihatan kardiovaskular, menguatkan otot, serta meningkatkan tahap stamina dan mental.

Risiko kecederaan daripada jogging biasanya berlaku jika tidak dilakukan dengan betul, seperti menggunakan kasut yang tidak sesuai atau tidak melakukan pemanasan yang cukup.

Dakwaan bahawa jogging adalah propaganda Yahudi dan disokong oleh jenama seperti Nike dan Adidas untuk melariskan kasut mereka sememangnya kedengaran tak masuk akal.

Teori ini cuba mengaitkan aktiviti fizikal dengan agenda global yang lebih besar, satu naratif yang biasa dilihat dalam banyak teori konspirasi.

Namun, ramai yang berpendapat teori ini tidak berasas dan lebih kepada spekulasi tanpa fakta yang jelas.