Hanya kerana tidak berpuas hati dibunyikan hon, seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman tersebut diputuskan oleh Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid selepas tertuduh, Azmi Jantan, 43, mengaku bersalah menetak seorang penunggang motosikal di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, bulan lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu 11 Jun lepas, petik Harian Metro.
Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan pisau pemotong daging (senjata berbahaya yang boleh membawa maut) di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, jam 8.19 pagi pada 11 Jun.
Hukuman itu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan di mana tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Kronologi & Kecederaan Mangsa
Insiden ini berpunca daripada perkara remeh apabila mangsa, seorang eksekutif syarikat berusia 45 tahun, membunyikan hon terhadap tertuduh kerana menghalang laluannya. Berang dengan tindakan itu, tertuduh bertindak di luar kawalan dengan berhenti dan menyerang mangsa.
Akibat amukan tersebut, mangsa mengalami kecederaan kritikal, antaranya:
– Patah tulang bahu, tulang tangan, tulang jari, dan pergelangan tangan kiri.
– Luka parah di bahagian kepala dan muka.
Demi Kepentingan Awam & Pengajaran Masyarakat
Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin, memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran tegas terhadap jenayah buli jalanan.
“Senjata digunakan tertuduh adalah pisau pemotong daging yang boleh membawa maut. Nasib baik mangsa tidak meninggal dunia. Kes ini berpunca daripada perkara remeh iaitu membunyikan hon dan perbuatan tertuduh boleh mencetuskan ketakutan kepada pengguna jalan raya lain,” hujah pihak pendakwaan.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai tanggungan serta tidak mengenali mangsa sebelum kejadian.