Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan denda RM50,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

Tertuduh, Tan Joo Meng, 46, bekerja kebun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Baca Juga:

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Nissan Sentral dalam keadaan berbahaya hingga merempuh mangsa, Norazam Omar di Jalan Bakariah/Jalan Haji Ismail, di sini, pada jam 10.20 malam, 4 Ogos 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, petik Harian Metro.

Atas kesalahan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika itu dipercayai mengambil ganja dan memandu dalam keadaan melulu serta merbahaya.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu tertuduh gagal dikawal lalu merempuh Norazam yang ketika itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Abong, di sini.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berusia 57 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ujian air kencing dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mendapati tertuduh positif ganja.

Pihak mahkamah memutuskan supaya tertuduh dipenjara 10 tahun dan denda RM50,000 serta mengarahkan tertuduh dikenakan penjara tambahan tiga tahun jika gagal membayarnya — selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun oleh kerana tertuduh tidak dapat membayar denda, tertuduh terpaksa menjalani hukuman penjara 13 tahun.

Pada masa sama hukuman bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini manakala lesen memandunya digantung selama tujuh tahun.

Sumber