Di Jakarta, hampir 100 individu daripada pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan sekerja Indonesia melakukan tunjuk perasaan dan bertindak agresif di hadapan Kedutaan Malaysia semalam.
Antara entiti yang terlibat adalah ahli Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI) dan Partai Buruh didapati melemparkan telur ke dinding hadapan bangunan kedutaan.

Memetik Harian Metro, tindakan sedemikian dilakukan sebagai tanda bantahan berikutan kes tembakan melibatkan warga Indonesia pada 24 Januari lalu perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera.
‘Tangkap dan penjarakan polis Malaysia yang tembak mati pekerja imigran’
Penunjuk perasaan turut membawa sepanduk yang bertulis ‘Tangkap dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja migran Indonesia’.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Indonesia, dalam satu kenyataan pada 25 Januari lalu berkata, kes tembakan itu berlaku ketika lima warga negara Indonesia itu cuba meninggalkan Malaysia secara haram.
kementerian Indonesia arahkan siasatan menyeluruh
Malah, kementerian berkenaan turut menuntut supaya siasatan menyeluruh dijalankan, terutama terhadap kemungkinan penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Indonesia di provinsi Riau pada Rabu lalu dilaporkan sudah menerima jenazah warga Indonesia yang maut, dikenali sebagai Basri, 50 dan dibawa pulang ke kampungnya di Pulau Rupat, Bengkalis.
Terdahulu, lima lelaki warga yang ditembak di perairan Tanjung Rhu Banting susulan cuba menyerang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan parang ketika rondaan dilakukan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bot yang dinaiki suspek melanggar bot APMM sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.
Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri pegawai APMM melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.